Arsenal minat khidmat Marcelo
Updated: Jul 9, 2019

LONDON: Bos Arsenal, Unai Emery dilaporkan berminat mendapatkan khidmat pertahanan kiri Real Madrid, Marcelo pada musim panas ini selepas mengetahui bintang Brazil itu mahu meninggalkan kelab gergasi La Liga itu.
Arsenal ketika ini memang terdesak mencari pertahanan kiri selepas enggan menyambung kontrak Nacho Monreal dan Emery melihat Marcelo pilihan paling sesuai.
Pemain antarabangsa Brazil itu dilaporkan mahu meninggalkan Real Madrid selepas tidak diberi peranan utama dalam sebahagian besar kempen di La Liga musim lalu.
Arsenal jika berminat dengan Marcelo, perlu bertindak cepat memandangkan Juventus dan AC Milan, masing-masing menyatakan minat mendapatkan khidmatnya.
Kontrak Marcelo bersama Los Blancos masih ada tiga tahun lagi.
Marcelo adalah sebahagian tenaga penting ketika Real dibimbing Zinedine Zidane namun peranannya berkurangan sejak diambil alih Julen Lopetegui yang kemudiannya dipecat dan Zidane kembali menerajui beberapa bulan sebelum penghujung musim.
Real Madrid bagaimanapun kecewa apabila Marcelo gagal memberi impak meskipun Zidane kembali dilantik jurulatih kelab itu.
Marcelo hanya 21 kali tampil buat Real Madrid dalam kempen La Liga musim lalu dan tidak diturunkan dalam kempen Liga Juara-Juara.
Emery sebelum ini dilaporkan berminat mendapatkan pertahanan Celtic, Kieran Tierney, tetapi dengan perkembangan terbaru, dia nyata memilih Marcelo.
The Gunners sudah menyediakan bajet £22 juta (RM119 juta) untuk mendapatkan Tierney, selepas tawaran asalnya berjumlah £15 juta (RM81 juta) ditolak Celtic. - Agensi
Read More : https://www.l7gaming.com/